


Blog
Kayu cendana dirampas | Kayu cendana dirampas |
|
Kastam Diraja Malaysia berjaya mematahkan cubaan menyeludup kayu cendana bernilai lebih RM5.5 juta dari negara India dalam satu serbuan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini 10 Jun lalu. Timbalan Pengarah Kastam Pulau Pinang, R. Mariappa berkata, kegiatan itu terbongkar berikutan pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang diikrarkan membawa benih sawi melalui pelabuhan tersebut kira-kira pukul 10.30 pagi. Menurutnya, mengikut Konvensyen Perdagangan Antarabangsa berkaitan spesies flora dan fauna liar yang terancam, kayu cendana tidak dibenarkan untuk dieksport. ''Kontena dari negara India ini dipercayai dieksport ke negara ketiga melalui NBCT sebagai pelabuhan transit. ''Seorang agen kastam dan seorang lelaki berusia 30-an yang bertindak sebagai penama atau pembawa bahan itu ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam. Mariappa berkata, kayu cendana berasal dari daerah Mysoram, India dan hanya dibenarkan untuk dieksport sekiranya memperoleh dokumen eksport daripada negara pengeluar. Bagaimanapun katanya, siasatan mendapati kayu cendana yang disimpan di dalam kontena berkenaan dieksport tanpa permit daripada kerajaan India. Katanya, kegiatan penyeludupan bahan itu dipercayai berikutan permintaan tinggi untuk penghasilan produk terutamanya kosmetik, sabun dan minyak. ''Kes ini disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu membuat ikrar yang tidak benar ke atas keterangan dagangan yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun," katanya. Selain itu katanya, kes tersebut juga disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 iaitu dengan diketahui mengelakkan sekatan larangan yang dikenakan ke atas barangan secara frod. |
| < Prev | Next > |
|---|