Laman Utama
Berita & Aktiviti
Syabas Dan Tahniah

Image
Kumpulan SAUH

Seluruh warga Bahagian Pencegahan mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kumpulan SAUH kerana telah berjaya mendapat tempat Ke-3 (Kategori Teknikal) dalam Konvensyen KMK Peringkat KDRM Pulau Pinang yang telah diadakan pada 19 Ogos 2009 bertempat di Perpustakaan Negeri, Seberang Jaya.

 
Kayu cendana dirampas

HALIM Othman (kanan) bersama Wan Deraman Wan Saleh dan Ahmad Khalid Kahar dari Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) memeriksa kayu cendana bernilai RM5.5juta yang cuba diseludup di Bukit Mertajam, Pulau Pinang

Kastam Diraja Malaysia berjaya mematahkan cubaan menyeludup kayu cendana bernilai lebih RM5.5 juta dari negara India dalam satu serbuan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini 10 Jun lalu.

Timbalan Pengarah Kastam Pulau Pinang, R. Mariappa berkata, kegiatan itu terbongkar berikutan pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang diikrarkan membawa benih sawi melalui pelabuhan tersebut kira-kira pukul 10.30 pagi.

Menurutnya, mengikut Konvensyen Perdagangan Antarabangsa berkaitan spesies flora dan fauna liar yang terancam, kayu cendana tidak dibenarkan untuk dieksport.

''Kontena dari negara India ini dipercayai dieksport ke negara ketiga melalui NBCT sebagai pelabuhan transit.

''Seorang agen kastam dan seorang lelaki berusia 30-an yang bertindak sebagai penama atau pembawa bahan itu ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Mariappa berkata, kayu cendana berasal dari daerah Mysoram, India dan hanya dibenarkan untuk dieksport sekiranya memperoleh dokumen eksport daripada negara pengeluar.

Bagaimanapun katanya, siasatan mendapati kayu cendana yang disimpan di dalam kontena berkenaan dieksport tanpa permit daripada kerajaan India.

Katanya, kegiatan penyeludupan bahan itu dipercayai berikutan permintaan tinggi untuk penghasilan produk terutamanya kosmetik, sabun dan minyak.

''Kes ini disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu membuat ikrar yang tidak benar ke atas keterangan dagangan yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun," katanya.

Selain itu katanya, kes tersebut juga disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 iaitu dengan diketahui mengelakkan sekatan larangan yang dikenakan ke atas barangan secara frod.

 
Majlis Penyerahan Tugas

Majlis Penyerahan Tugas
Majlis Penyerahan Tugas

Pada 2 Feb 2009 bertempat di Bilik Mesyuarat, Kompleks Pencegahan Negeri, Perai telah berlangsung Majlis Penyerahan Tugas antara Tuan Chik Omar Bin Chik Lim dan Tuan Mariappa A/L Ramayah dengan disaksikan oleh Pengarah Kastam Negeri Pulau Pinang, Tuan Matrang Bin Suhaili. Seluruh Warga KDRM Pulau Pinang mengucapkan Selamat Datang dan Bertugas kepada Tuan Mariappa A/L Ramayah sebagai Timbalan Pengarah Kastam Pulaua Pinang (Bahagian Pencegah) yang baru.

 
Seludup dadah guna sabun mandi

TAKTIK...Chik Omar menunjukkan sabun mandi yang ditebuk
TAKTIK...Chik Omar menunjukkan sabun mandi yang ditebuk
 

PRAI: Sindiket penyeludupan dadah kini dilihat semakin terdesak dengan menggunakan pelbagai taktik untuk membawa masuk bahan larangan itu ke negara ini termasuk menggunakan sabun mandi yang ditebuk bagi menyorokkan ketamin.

Bagaimanapun, taktik terbaru itu dibongkar Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Pulau Pinang selepas menahan seorang lelaki warga India jam 10.20 malam Khamis lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL).

Lelaki berusia lingkungan 40-an itu memasuki negara ini menerusi Bangkok, Thailand dan ditahan di LTABL selepas disyaki membawa bagasi mengandungi dadah.

Timbalan Pengarah Kastam negeri, Chik Omar Chik Lim, berkata melihat gelagat lelaki berkenaan yang mencurigakan, pegawai kastam melakukan pemeriksaan ke atas bagasi dibawanya.

Katanya, pegawai kastam mengesyaki sesuatu kerana lelaki berkenaan membawa dua bekas menyimpan makanan (termos) dan sabun mandi dalam jumlah yang banyak.

“Unit Narkotik KDRM yang membuat pemeriksaan lanjut menemui hablur putih dipercayai ketamin dalam ruang khas bekas menyimpan makanan dan pengimbasan yang dilakukan ke atas sabun mandi mendapati ada sesuatu di dalamnya.

“Sebanyak 147 ketul sabun mandi jenama Lifebuoy dan Hamam ditebuk dan dimasukkan ketamin seberat kira-kira 10 gram setiap satu.

“Semua ketamin berkenaan dianggarkan seberat 7.48 kilogram dengan nilai pasaran kira-kira RM262,000," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Pencegah Kastam Prai, di sini, semalam.

Chik Omar berkata, lelaki berkenaan direman selama tujuh hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah tetapi pernah bekerja di kedai makan di negara ini selama dua tahun.

Chik Omar berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penyeludupan dadah boleh menghubungi pihaknya di talian bebas tol 1-800-88-8855 atau 04-3972969.